Comango menegakkan hak asasi manusia untuk semua tanpa rasa takut atau keuntungan, berdasarkan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, iaitu piawaian yang telah dipersetujui oleh negara ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Ini termasuklah Malaysia.
Malaysia merupakan ahli kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk dua penggal yang berbeza. Penggal yang pertama dari tanggal 19 Jun 2006 hingga 18 Jun 2009, dan Malaysia melobi posisi ini dengan sangat aktif. Sebagai ahli kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Malaysia, sebagaimana negara ahli yang lain, setuju dan komited untuk menegakkan piawaian tertinggi dalam peningkatan dan perlindungan hak asasi manusia. Dengan mengisytiharkan pencalonan untuk satu kerusi di dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Malaysia telah mengungkapkan komitmen untuk menegakkan hak asasi manusia, telah berikrar dan berjaya memenangi jumlah undian yang sepatutnya untuk kerusi itu.
Di dalam pengisytiharan pencalonan pada tahun 2006 – ketika Malaysia menang satu kerusi di dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Malaysia menyatakan secara jelas bahawa “Malaysia selepas kemerdekaan pada tahun 1957, telah menegakkan peningkatan dan perlindungan semua hak asasi manusia sebagai aspek yang tidak boleh diketepikan dalam pembinaan negara bangsa. Selari dengan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (Universal Declaration of Human Rights – UDHR). Tambahan pula, kerajaan Malaysia telah membuat jaminan tentang hak dan kebebasan asas individu, seperti yang tertakluk di dalam Perlembagaan, yang merupakan batu asas kepada segala polisi dan program”. Malaysia mengisytiharkan pencalonannya lagi untuk penggal 19 Jun 2010 sehingga 18 Jun 2013. Kali ini, Malaysia menyatakan kepercayaan bahawa, “Selepas kajian semua Universal Periodic Review (UPR) pada bulan Februari 2009, Malaysia percaya bahawa mekanisme UPR merupakan inovasi paling penting yang diterima pakai pada masa kini oleh sistem hak asasi manusia PBB. Walaupun dengan kesulitan teknikal, termasuklah kekangan sumber dan prosedur, proses ini memasukkan penyertaan daripada semua pihak berkepentingan secara efektif, dalam mengkaji semula rekod hak asasi manusia negara, dan memberi merit kepada sokongan berterusan daripada semua perwakilan dan pihak berkepentingan.”
Di dalam perutusan yang sama, Malaysia mengungkapkan tentang menegakkan hak asasi manusia pada tahap kebangsaan, “Di tahap kebangsaan, Malaysia berusaha untuk mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia, secara aktif, menerusi pelbagai usaha di dalam pelbagai bidang. Sejak dari kemerdekaan pada tahun 1957, usaha kami untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia telah dicerminkan daripada undang-undang dan peraturan kami. Undang-undang ini termasuklah: Perlembagaan Persekutuan Malaysia – peruntukan di bawah Bahagian II Perlembagaan membentuk asas promosi dan perlindungan hak asasi manusia, temasuklah Artikel 5 dan 13, untuk mengukuhkan hak kebebasan peribadi; larangan terhadap perhambaan dan buruh paksa; perlindungan daripada undang-undang jenayah yang diusulkan daripada peristiwa lepas dan perbicaraan ulangan; perlindungan perundangan yang sama rata; kebebasan untuk bergerak; hak untuk bersuara, berkumpul dan berpersatuan; kebebasan beragama, hak dari segi pendidikan dan hak di atas harta.”
Malaysia meneruskan kenyataan pencalonan kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk penggal 2010 ke 2013 dengan menyatakan, “Tiada negara di dunia ini yang mempunyai rekod hak asasi manusia yang sempurna dan hidup dalam keamanan dan harmoni. Peristiwa baru-baru ini di Malaysia yang melibatkan penodaan tempat ibadat, adalah merupakan penyimpangan kepada sejarah negara ini sejak kemerdekaan. Walaupun dibelenggu masalah seperti ini, Malaysia akan sentiasa menegakkan dan mempromosi prinsip asas hak asasi manusia untuk semua. Adalah penting untuk kita faham yang yang situasi kini adalah hasil daripada keputusan mahkamah, di mana Mahkamah Tinggi mendapati Kerajaan telah membuat kesalahan dalam keputusan mengharamkan penggunaan perkataan “Allah” untuk “Tuhan” bagi golongan bukan Muslim. Hakikat bahawa situasi ini timbul daripada keputusan mahkamah merupakan petunjuk yang nyata tentang kebebasan kehakiman di Malaysia, dan juga menunjukkan bahawa ada keperluan untuk mengimbangi kebimbangan hak asasi manusia, dan isu ketenteraman dan keselamatan awam, terutamanya di dalam masyarakat berbilang etnik dan agama. Ia juga penting untuk diambil perhatian, yang pengecaman terhadap tindakan penodaan ini bukan hanya datang daripada Kerajaan, malah daripada pemimpin politik, organisasi masyarakat sivil dan orang awam. Selepas kejadian ini, ahli-ahli NGO Islam telah bergabung bersama NGO lain untuk menghalang penodaan rumah ibadat bukan Islam.
Komitmen COMANGO dimulakan di atas prinsip hak asasi manusia, dan nilai martabat, kehormatan, kepelbagaian, kesaksamaan dan pilihan.
Di dalam UPR, COMANGO mengikut garis panduan yang ditentukan oleh Resolusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB 5/1, yang merupakan dokumen pembangunan institusi Majlis itu. Ulasan di dalam proses UPR mestilah berasaskan:
- Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
- Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (Universal Declaration of Human Rights – UDHR)
- Instrumen hak asasi manusia yang telah ditandatangani dan diratifikasi oleh Malaysia
- Ikrar sukarela dan komitmen yang dilakukan oleh Malaysia, termasuklah yang dilaksanakan ketika pembentangan pencalonan untuk pengundian kemasukan Majlis Hak Asasi Manusia, dan;
- Undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang berkaitan.